Saturday, October 13, 2012

Transformasi Pendidikan bermula di Rumah

[edited version published in Berita Harian]


Musim konvokesyen melibatkan universiti-universiti awam di Malaysia pada waktu sekarang, secara simbolik menzahirkan kemajuan sistem pendidikan negara dalam meningkatkan peratusan pekerja berpendidikan tinggi daripada 6% pada tahun 1982 kepada 24% pada tahun 2010 - peningkatan sebanyak 300% dalam masa kurang daripada 30 tahun!  Bagaimanapun, jika dibandingkan dengan purata peratusan pekerja berpendidikan tinggi (ijazah ke atas) di negara-negara maju pada tahap 40%, perjuangan kita sememangnya masih jauh dari selesai. Oleh itu, transformasi sistem pendidikan negara yang dirancangkan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP) baru-baru ini amatlah dialu-alukan. PPP, antara lain, menggariskan sasaran untuk mengurangkan jurang pencapaian antara golongan kaya dan miskin, bandar dan luar bandar, dan negeri-negeri di Malaysia.

Tanggungjawab mendidik generasi muda tidak seharusnya diletakkan di atas bahu guru-guru, Kementerian Pelajaran atau sistem pendidikan negara semata-mata. Kanak-kanak berusia 6 atau 7 tahun pada hari pertama persekolahan mempunyai tahap pengetahuan yang sangat berbeza. Golongan kanak-kanak yang mana ibu bapa, keluarga dan  komuniti yang menitik-beratkan ilmu pengetahun  sejak dari awal, seawal sejak hari pertama dilahirkan mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk cemerlang dalam akademik apabila memasuki sekolah dan seterusnya berjaya dalam hidup.

Iqra’ – “Bacalah”, merupakan perkataan pertama yang diturunkan kepada Rasulullah S.A.W dan umat Islam. Wahyu pertama daripada Allah ini adalah suatu perintah kepada kita untuk  membaca, kerana membaca adalah kunci ilmu pengetahuan. Kita juga sering mendengar kata-kata hikmah seperti “tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad”. Dalam artikel ini, saya ingin berkongsi konsep dan kepentingan membaca sejak dari kecil. Konsep ini adalah berbeza dengan kempen membaca yang selalu kita dengar bagi menggalakkan kanak-kanak dan orang dewasa untuk membaca.

Apa yang ingin saya perincikan ialah konsep membaca kepada anak-anak di mana individu dewasa membacakan buku, artikel dalam majalah, ringkasan berita daripada akhbar, poster, papan tanda dan apa sahaja bahan bacaan kepada anak-anak dari hari pertama mereka dilahirkan, sebelum memasuki alam persekolahan, sehingga anak-anak melangkah keluar daripada rumah ke universiti. Konsep ini dipanggil “read aloud” atau “membaca dengan kuat” di kalangan ibu bapa di negara-negara maju, dan mungkin juga telah lama diguna pakai antara sedar atau tidak oleh sebilangan kecil ibu bapa di Malaysia, terutamanya di kalangan bukan Melayu. Secara minimum, “membaca dengan kuat” melibatkan ibu bapa membaca buku cerita kepada anak-anak selama beberapa minit sebelum waktu tidur. Objektif utama saya menulis artikel ini ialah untuk memperkenalkan konsep ini dan menggalakkan penggunaannya di kalangan orang Melayu tanpa mengira taraf hidup atau pendidikan.

Motivasi konsep “membaca dengan kuat” ini adalah untuk mengasah minat membaca sejak dari kecil. Minat ini akan mendorong generasi muda kita meluaskan minda melalui bacaan mengenai perbagai isu semasa atau teknikal, selain mengelakkan sikap membaca semata-mata untuk lulus dalam peperiksaan. Konsep ini juga dapat membantu membina perbendaharan kata sejak kecil, dan menjadikan ibu bapa sebagai ikon bagi memupuk minat membaca.

Konsep “membaca dengan kuat” bukanlah sesuatu yang baru. Saya diperkenalkan dengan konsep ini apabila dihadiahkan buku the Read-Aloud Handbook tulisan Jim Trelease, diterbitkan pada kali pertama pada tahun 1979, sempena menyambut kelahiran anak pertama saya. Buku tersebut membincangkan sebab-sebab disebalik konsep “membaca dengan kuat” dan kaedah-kaedah yang boleh diamalkan oleh setiap ibu bapa, biarpun yang buta huruf (dengan menggunakan buku audio atau pita kaset misalnya). Satu anekdot dalam buku tersebut yang pada pandangan saya merumuskan kepentingan konsep “membaca dengan kuat” adalah melibatkan seorang anak kecil bernama Jennifer yang diberi “diet” sekurang-kurangnya 10 buku sehari oleh ibu bapanya semenjak hari pertama dilahirkan. Ketika berusia 7 tahun, Jennifer sentiasa mendapat 100 peratus dalam kelas bacaan dan mempunyai tahap perbendaharan kata yang sangat tinggi. Sewaktu sessi rehat di sekolah, Jennifer akan sentiasa dilihat di perpustakaan, dan dia sangat gemar membaca bersama bapanya di rumah. Apa yang amat mengkagumkan ialah Jennifer dilahirkan dengan sindrom Down. Sewaktu berusia 2 bulan doktor memberitahu ibu bapanya bahawa Jennifer mungkin akan menjadi buta, pekak dan terencat akal. Sebaliknya, pada usia 4 tahun, Jennifer mempunyai IQ pada tahap 111 (tahap normal atau purata bermula daripada 90 ke 109). Saya tidak berniat untuk menyinggung perasaan ibu bapa yang mempunyai anak bersindrom Down, tetapi mari kita bayangkan betapa tinggi potensi untuk berjaya jika individu yang normal mengamalkan konsep “membaca dengan kuat” juga.

Selain itu, saya amat tertarik dengan konsep “membaca dengan kuat” kerana ia sangat berkait rapat dengan teknik belajar yang saya gunakan sejak zaman persediaan menghadapi SPM sehingga tamat pengajian ijazah kedoktoran. Teknik “S-A-T-U” yang diterangkan dengan lebih lanjut di laman web ilmuialahkuasa.net antara lain menekankan kepentingan membaca topik yang akan diajar oleh guru dengan lebih awal sebelum ke kelas. Konsep “membaca dengan kuat” dan minat membaca yang disemai akan mendedahkan generasi muda kepada pelbagai topik dalam bermacam bidang dengan lebih awal. Minda yang terbuka luas akan lebih mudah menimba ilmu apabila diajar oleh guru-guru di sekolah.

Secara peribadi, dibesarkan di kawasan luar bandar di Puchong, Selangor dalam era 80-an, sebelum kawasan lombong dan kebun getah ditukar menjadi taman perumahan dan perindustrian, membaca bukanlah satu tabiat yang saya sukai ketika zaman kanak-kanak. Rakan-rakan di kampung jauh sekali melihat membaca sebagai satu perkara yang “cool”. Motivasi awal saya untuk belajar membaca adalah untuk memahami sarikata terjemahan siri televisyen pada ketika itu seperti “CHIPS” dan “V”. Saya juga bernasib baik kerana mempunyai ahli keluarga yang melarang saya untuk keluar bermain setiap petang sebelum belajar membaca dan menghafal sifir terlebih dahulu. Minat membaca selain buku-buku sekolah bermula agak lewat sewaktu saya berusia 17 tahun. Kini, selain bacaan-bacaan teknikal dalam bidang kejuruteraan, saya berasa tidak senang jika tidak membaca akhbar-akhbar Malaysia sekali seminggu, dan bacaan mingguan kegemaran saya semenjak beberapa tahun lepas untuk meluaskan pandangan – majalah Economist.

Saya berasa terpanggil untuk berkongsi konsep “membaca dengan kuat” kerana berbalik kepada kata-kata hikmah “membaca adalah kunci ilmu pengetahuan”, saya berpendapat bahawa dengan ilmu, seseorang itu akan dapat membina kepakaran dalam apa jua bidang yang dingini, lantas menjamin kehidupan yang lebih baik untuk diri sendiri, keluarga, bangsa dan agama. Dalam konteks pembangunan Malaysia, adalah amat kritikal untuk bangsa Melayu mempersiapkan diri bagi menghadapi arus perubahan ekonomi dan globalisasi pada hari ini dan juga masa akan datang. Saya percaya setiap individu Melayu perlu berusaha untuk memajukan diri sendiri dan menerima hakikat bahawa budaya mengharapkan bantuan orang lain tidak akan berpanjangan. Membaca adalah satu amalan permulaan bagi menjamin bangsa Melayu yang cemerlang di masa akan datang. Transformasi pendidikan yang diwar-warkan kini seharusnya perlu bermula di rumah.

Wednesday, October 10, 2012

Collection of Ideas to Support Early Education Effort in Malaysia


Inisiatif Pendidikan Menyuruh (PenRuh) melibatkan secara menyeluruh dan bersepadu agensi‐agensi kerajaan,serta rakyat umum, terutamanya ibu‐bapa dan guru‐guru, dalam menyediakan modal insan cemerlang melalui proses pendidikan awal dari rumah berasaskan konsep “read aloud” atau “membaca dengan kuat”*. Inisiatif ini boleh diimplementasikan melalui projek‐projek seperti berikut di bawah Bidang Keberhasilan UtamaNegara (NKRA) dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP):

1. Perpustakaan Desa 1Malaysia
Di bawah naungan, pengelolaan dan pengurusan bajet oleh setiap Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) atau Parlimen, Perpustakaan Desa 1Malaysia di setiap kampung atau kawasan kecil menganjurkan program membaca buku cerita oleh staf atau sukarelawan pada setiap hari untuk kanak‐kanak pada berbagai peringkat umur (seperti peringkat bawah 2 tahun, 3‐4 tahun, 5‐7 tahun, 8 tahun ke atas, dan sebagainya). Perpustakaan Desa 1Malaysia bukanlah satu perpustakaan biasa yang sekadar menyediakan buku‐buku dan ruang untuk membaca. Perpustakaan Desa 1Malaysia adalah lebih kepada penganjuran program‐program berilmu berasaskan konsep“read aloud” untuk memupuk minat membaca di kalangan genegarsi muda. Projek ini juga menyediakan satu medium untuk pemimpin tempatan untuk turun padangmendekatkan diri dengan rakyat.

2. Kempen “Read Aloud”
Bakal ibu‐bapa muda didedahkan dengan konsep read aloud melalui risalah‐risalah atau modul keibubapaan ketika menghadiri kursus perkahwinan atau kelas persedian sebelum melahirkan anak. Projek ini boleh diterajui oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan kerjasama Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, dan Jabatan‐Jabatan Agama Negeri.

3. Penerapan “Read Aloud” dalam Pelan Pembangunan Pendidikan
Guru‐guru didedahkan dengan konsep “read aloud” dan digalakkan menggunakan teknik read aloud didalam kelas. Projek ini boleh diterajui oleh Kementerian Pelajaran melalui pelaksanaan PelanPembangunan Pendidikan.

4. Pertandingan Menulis Buku Cerita Kanak‐Kanak
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Gabungan Penulis Negara (GAPENA) misalnya menganjurkan pertandingan tahunan menulis buku dan melukis illustrasi cerita kanak‐kanak untuk berbagai peringkat umur. Projek ini adalah untuk melipat‐gandakan penerbitan buku‐buku berbahasa Melayu untuk kanak‐kanak.

5. Program Terjemahan Buku Cerita Inggeris Kanak‐Kanak
DBP menterjemah dan menerbitkan buku‐buku berbahasa Inggeris kanak‐kanak.

6. Kajian Pendidikan Kanak‐Kanak
Pengelolaan program penyelidikan di institusi pengajian tinggi tempatan untuk mengkaji danmengenalpasti strategi terbaik untuk mendidik anak‐anak dari peringkat awal dalam konteks masyarakat dan sosio‐ekonomi Malaysia. Program ini boleh diterajui oleh Kementerian PengajianTinggi.

*Sila rujuk artikel bertajuk “Transformasi Pendidikan Bermula di Rumah”.